Dec 17, 2024

Ikan Kerapu Goreng dan Tomyam Versi Sihat

Tak pernah lagilah pi pasar beli ikan kerapu. Biasanya ikan ni mahal. Tapi hari tu beli kat pak cik yang jual ikan depan rumah, ada pulak ikan ni. Murah pulak tu RM15 sekilo. Belilah seekor, nak rasa.

Kunun nak buat stim limau lah, tiga rasalah, sekali goreng garing je sudah. Haha

Sedap. Macam siakap pun ada. Tapi badannya memang lembut lepas buang sisik. Macam ikan kerisi. Manis, tak banyak tulang. Boleh je masak apa-apa macam kita masak siakap atau talapia.



Sis gaul dengan tepung jagung sikit, garam, kunyit. Goreng sampai garing. 




Niat nak buat tomyam. Hasil shopping di kedai Acheh. Seleri 2 batang, daun ketumbar 1 ikat, tomato 2 biji, daun limau purut 1 peket kecik, lengkuas muda saiz 1/3 tapak tangan, kubis bunga sesuku. Bahan-bahan lain dah ada kat rumah.



Lepas makan tomyam 'manis' kat kedai tomyam hari tu, aduh tak puas hati. Itu yang buat sendiri ni. Boleh ejas masam, pedas, masin.

Sis tak suka guna perencah. Yang penting ada lengkuas, sos ikan, daun ketumbar, daun limau purut.

Cara sis buat tomyam gini je:

Rebus isi ayam.
Masukkan lengkuas hiris, serai ketuk, bawang putih ketuk, bawang Holland hiris, akar ketumbar.

Masukkan kubis bunga, carrot, jagung muda, cili padi (nak pedas ketuk, kalau tak, humban je jadi kuah tak pedas anak boleh makan).

Masukkan sos ikan, cuka/jus limau, garam kalau perlu, serbuk cili (kalau nak kaler merah-merah sikit), daun limau purut, tomato belah empat. Boleh letak gula Thai kalau ada. 

Masukkan udang/sotong kalau nak lagi sedap kuahnya. Sekejap je ni letak hujung-hujung dah masak. Boleh tabur daun ketumbar dan tutup api.

Tomyam gini tak berminyak. Sesuai untuk diet.



Sate Ayam Sedap Intan Satay Puchong

Penduduk sekitar Puchong, kalau nak cari sate sedap style dulu-dulu, yang masih letak lemak ayam kat tengah-tengah tu, boleh cuba Intan Satay.

Isi sate bukan jenis isi yang saiz besar tu tau. Kalau nak makan macam tu, kena makan Sate Kajang Haji Samuri 😁

Selain rasa sate, Sis suka kuah kacang dia. Just nice berpalut time nak cecah sate. Kacang tu tak halus sangat, tak kasar sangat. Rasa pun memang A. Tak kedekut kuah. Insya Allah cukup dan puas makan.

Tak lupa ada bawang dan timun. 

Brader jual tu pernah bagitau macam mana Intan Satay dapat nama. Katanya sebab rumah diorang kat Puchong Intan. Bukan sebab nama mak ke, isteri ke sapa ke. Hehe gitu kisahnya...

Kalau nak cuba, lokasi diorang kat Prima Walk, Puchong Prima. Depan Speedmart 99 dan Nasi Ayam Malaya. 



Idea Bekal Sekolah: Nasi Goreng Cina dan Bebola Ikan

Untuk anak yang kurang makan pedas, nasi goreng cina memang selalu jadi pilihan.

Sis tambah bebola ikan buat lauk.

Bekal mudah dan ringkas. Cepat pula nak sediakan.

Boleh guna serbuk perencah je atau kalau buat sendiri tu cuma tumis bawang putih je. Tambah garam dan lada sulah. Siap.


Kadang-kadang anak tak kisah pun bekal apa, yang penting ada bekal dan dimasak dengan kasih sayang.


Ayam Bakar Air Fryer


Jimatkan masa kat dapur, masak guna air fryer je.

Ayam Bakar Air Fryer

Perap ayam dengan bahan-bahan kisar:

Bawang besar
Bawang putih
Halia
Lengkuas
Kunyit hidup
Serai
Lada hitam
Ketumbar
Jintan manis
Jintan putih

Tambah garam. Susun dalam air fryer, spray minyak sikit atas ayam.

Bakar pada suhu 200'c, 25 + 15 min atau sehingga ayam masak. 




Macam ungkep pun ada.


Sedia dihidang. Boleh makan dengan ulam dan sambal.

Ikan Tenggiri Bakar Air Fryer Guna Sambal Tumis

Ada lebihan sambal tumis, Sis bakar ikan perap sambal tumis tu je senang.

Gaul ikan dengan sambal, bungkus dalam foil.

Masak dalam air fryer 200'c, 10/10 mins hingga ikan masak.




Kalau nak tambah petai pun sedap juga ni.

Konsepnya guna apa yang ada, elakkan membazir.

Hidangan mudah dan pantas.

Menu Tanpa Gluten: Lempeng Nasi dan Tepung Beras

Ada nasi lebih tu, selain nasi goreng, boleh diolah jadi lempeng juga.

Sesuai juga untuk mereka yang alah gluten sebab tak guna tepung gandum.

Bahan-bahannya; nasi sejuk, tepung beras, air, secubit garam.

Kisar je nasi sejuk sampai halus. Tambah tepung beras sikit dan air. Adunan kena cair sikit. Kalau pekat nanti keras pulak lempengnya.

Tambah garam dan sikit minyak. Kacau rata.

Panaskan pan. Spray minyak sikit supaya tak melekat. Sendukkan adunan. Dah keluar bubble tu, boleh terbalikkan untuk masak sebelah lagi.

Dah masak, boleh angkat.

Boleh cecah kuah kari, sambal bilis atau sambal hijau.



1 senduk adunan (saiz senduk nasi) boleh dapat saiz lempeng comel.


Makan-makan di rumah Encik Baba,
Selamat mencuba!

Idea Ramadan: Bihun Kari Ikan


Sesekali tukar selera atau cuba menu baru, sedap juga. Nak buat berbuka puasa pun boleh ni.

Kadang-kadang kita makan apa yang tersedia di rumah saja untuk elak membazir. Jadi kena kreatiflah sikit.

Kalau biasa kari ni Sis buat pencecah dengan roti ke lempeng ke atau cekodok pisang. Tapi kali ni cuba lain pulak.

Makan bihun dengan kuah kari ikan.


Inspirasi mi kari. Sis olah jadi bihun kari.



Celur bihun. Letak sawi celur. Siram kuah kari ikan. Kalau ada sambal belacan sedap juga ni. 

Boleh la cuba kalau nak tukar selera. Paling sedap guna ikan tenggiri, ikan merah. Salmon atau dori pun ok juga. Sayur boleh tambah tauge jika suka.


Idea Bekal Sekolah: Spagheti Alfredo (ala Carbonara)

Dulu-dulu, nak mudah buat pasta dengan kuah putih (yang kita selalu anggap carbonara tu), beli je yang dalam balang atau tin. 

Cuma panaskan dan tambah air je. Rebus pasta, dah boleh hidang.

Sejak faham kandungan sos-sos pasta yang pernah dibeli tu banyak sangat pengawet, penambah rasa sedangkan bahan asasnya sikit aja - jadi Sis sedaya upaya buat je sendiri.

Sejak jumpa resipi sos putih atau alfredo yang senang dan sedap ni, memang itu je yang Sis ikut. Lagipun anak-anak suka.

Baik makan kat rumah, ataupun bawa bekal ke sekolah.



Untuk adik-adik, kuah letak dalam bekas ada lock untuk elak tumpah. Pastanya bungkus dalam plastik. Untuk sulung, kuah bungkus, pasta dalam bekas kertas. Selalu dia makan dengan kawan-kawan. Jadi pack lebih sikit.

Cara nak buat mudah je, bahan-bahan pun tak banyak.

Resipi Spagheti Alfredo

Bahan-bahan:

1/2 peket spagheti
1 mangkuk kecil isi ayam
1 kotak kecil krim masakan (cooking cream)
3 ulas bawang putih, dicencang
1/2 labu bawang Holland
1/2 cawan air rebusan spagheti
Serbuk lada hitam
Sedikit mentega
Herba Itali
Kepingan keju cheddar
Serbuk ayam/kiub ayam jika suka

Cara masak:

1. Didihkan air dalam periuk. Masukkan 1 sudu besar garam. Air dah mendidih baru masukkan spagheti dan rebus hingga al dente (ikut arahan di paket). Titis sedikit minyak zaitun untuk elak melekat. Angkat dan toskan. Asingkan 1/2 atau 1 cawan air rebusan.

*pastikan air dah mendidih baru masuk spagheti, kalau rebus lama sangat nanti spagheti terlalu lembik dan hancur.*

2. Panaskan kuali. Masukkan sedikit mentega dan tumis bawang putih, bawang Holland hingga layu. 

3. Masukkan isi ayam. Masak hingga ayam empuk. Masukkan krim masakan. Kacau rata. 

*Kalau suka berkuah lebih, boleh tambah air/susu segar/air rebusan pasta. Kalau suka pekat, tambah sikit-sikit, ikut cita rasa.*

4. Masukkan keju. Bilangan keping, terpulang. Nak pekat, lebih berlemak boleh letak 3-4 keping. Untuk sekadar rasa boleh letak 1-2 keping. 

5. Tambah serbuk ayam atau kiub ayam, garam (kalau perlu, sebab cheese dan air pasta dah masin), herba Itali dan serbuk lada hitam. 

6. Kepekatan kuah, ikut kegemaran masing-masing. Siap.


Siap bekal.


Berjalan-jalan ke Danau Toba, 
Selamat mencuba!

Dec 5, 2024

5 Resipi Biskut Berasaskan Kacang Tanah, Tak Perlu Banyak Bahan

Biskut berkacang tanah antara biskut popular ketika hari raya. Pelbagai jenis biskut boleh diolah dengan menggunakan kacang ini.

Selain rasanya yang sedap dan berlemak, ia turut memberi tekstur yang rangup dan menaikkan selera dengan aromanya yang harum apabila dibakar.

Boleh cuba biskut kacang mudah ini, tak perlu banyak bahan pun!

Perkongsian resipi dan gambar daripada Majalah RASA.

Biskut Mazola
(Resipi untuk 50-60 biji)





Bahan-bahan: 

400 gm kacang tanah kisar
400 gm tepung gandum
100 gm gula halus
Sedikit minyak jagung (minyak Mazola)

Cara membuat:

1. Satukan kacang tanah, gula dan tepung dalam satu bekas. Ramas bahan hingga sebati dengan tangan.
2. Masukkan minyak Mazola.
3. Uli hingga menjadi doh, tapi jangan terlalu berminyak.
4. Terap doh dengan acuan pilihan. Kemudian sapu kuning telur pada bahagian atas untuk lebih cantik.
5. Bakar pada suhu 180 C selama 15 minit atau hingga masak.
6. Keluarkan dan sejukkan di atas redai. Simpan dalam bekas kedap udara.

Bekas kuih raya kedap udara dengan design menarik dan premium, KLIK SINI!

Tip: Kacang tanah perlu digoreng tanpa minyak (sangai) terlebih dahulu. Buang kulit dan kisar supaya kacang tidak pahit.


Biskut Mentega Kacang Horlicks
(Resipi untuk 40-50 biji)





Bahan-bahan:

300 gm kacang tanah - disangai dan dikisar halus
150 gm gula aising
100 gm Horlicks
150 gm mentega kacang

Mencari alternatif kepada Horlicks, boleh cuba Socolics Dairy Malt. KLIK SINI!

Cara membuat:

1. Campur semua bahan dan gaul rata.
2. Masukkan ke dalam loyang dan tekan-tekan supaya padat. 
3. Terap adunan dengan acuan pilihan.
4. Bakar dalam ketuhar pada suhu 160 C selama 10 minit.
5. Sejukkan di atas redai dan simpan dalam bekas kedap udara.



 

Biskut Kacang Tradisi
(Resipi untuk 80 biji)





Bahan-bahan:

300 gm kacang tanah - disangai dan tumbuk halus
200 ml minyak jagung
10 gm serbuk penaik
150 gm gula aising
50 gm kacang tanpa kulit - sebagai hiasan

Nak buat biskut tapi malas nak sangai dan tumbuk kacang, beli yang siap je mudah kerja! KLIK SINI.

Cara membuat:

1. Gaul semua bahan hingga sebati. Bentukkan bulat-bulat dan leperkan.
2. Letak dalam loyang pembakar yang telah digris.
3. Letakkan kacang tanah di atas setiap biji.
4. Bakar pada suhu 160 C selama 10 minit.
5. Keluarkan dan sejukkan. Simpan dalam bekas kedap udara.

 Tip: Boleh letakkan parutan keju Cheddar di atasnya untuk rasa yang lebih lemak dan unik.


Biskut Mentega Kacang Berinti
(Resipi untuk 40-50 biji)





Bahan-bahan:

300 gm kacang tanah - disangai, ditumbuk halus
200 ml minyak jagung
10 gm soda bikarbonat
10 gm serbuk penaik
150 gm gula aising
50 gm kacang tanpa kulit - hiasan
Mentega kacang secukupnya


Banyak pilihan mentega kacang DI SINI. Nak dalam bekas sederhana atau besar, pilih saja!

 

Cara membuat:

1. Gaul semua bahan hingga sebati.
2. Susun acuan tat dalam dulang pembakar dan tuang adunan ke dalamnya.
3. Bakar pada suhu 160 C selama 10 minit.
4. Setelah masak, keluarkan dan sejukkan. Keluarkan daripada acuan tat.
5. Paipkan mentega kacang di atas tat.
6. Simpan dalam bekas kedap udara.

Nak guna acuan tat aluminium atau nak tekan sendiri, boleh pilih je DI SINI. Acuan begini boleh juga diguna untuk buat tat Portugis, tat buah dan lain-lain.


Bipang Kacang Tanah
(Resipi untuk 40-50 keping)





Bahan-bahan:

300 gm kacang tanah - digoreng
400 gm gula perang
40 gm marjerin
50 gm bijan - disangai

Cara membuat:

1. Panaskan gula dalam kuali tak melekat. Biarkan hingga mencair.
2. Setelah gula berbuih, masukkan kacang dan bijan.
3. Kacau cepat-cepat dan masukkan marjerin.
4. Tuang ke dalam loyang ketika masiih panas.
5. Sejukkan kemudian potong.


Selamat mencuba!



Dec 4, 2024

Resipi 5 Bahulu Sedap Pelbagai Rasa untuk Hari Raya


Kuih bahulu antara kuih tradisional yang masih mendapat tempat dalam masyarakat moden. 

Kini, kuih ini telah muncul dengan pelbagai warna dan rasa, sangat menarik dan menjadi pilihan sama ada yang tua atau muda.

Berikut dikongsikan 5 jenis bahulu yang boleh dicuba menjelang Aidilfitri nanti.

Kredit resipi dan gambar: Majalah RASA


BAHULU OREO

(Resipi untuk 250 biji)


Bahan-bahan:


48 biji telur ayam
2100 gm gula putih
1 sudu makan gula merah/Melaka
1900 tepung gandum
5 keping biskut Oreo (atau biskut yang seumpamanya- dibuang inti krim) - dihancurkan
Biskut Oreo 250 keping - dibuang inti krim
Minyak masak


Cara membuat:

1. Campurkan gula putih, gula merah dan telur lalu dipukul hingga kembang.
2. Sesudah adunan naik, masukkan tepung gandum sedikit demi sedikit diikuti Oreo yang dihancurkan. Pukul hingga sebati.
3. Panaskan acuan dengan sedikit minyak, sudukan sedikit adunan hingga separuh acuan, masukkan sekeping Oreo dan tutup dengan selapis lagi adunan.
4. Bakar dalam ketuhar bersuhu 200 C selamat 10 minit atau sehingga masak.
5. Sedia dinikmati.



BAHULU KEJU

(Resipi untuk 250 biji)





Bahan-bahan:

48 biji telur ayam
2100 gm gula putih
1 sudu makan gula merah
1900 gm tepung gandum
200 gm keju Cheddar parut


Cara membuat:

1. Pukul telur, gula putih dan gula merah hingga kembang.
2. Setelah adunan naik, masukkan tepung sedikit demi sedikit. Gaul sebati.
3. Biarkan adunan selama 30 minit sebelum diisi ke dalam acuan bahulu. Tabur keju Cheddar secukupnya.
4. Bakar dalam ketuhar pada suhu 200 C selama 10 minit atau hingga masak. Sedia dinikmati.

BAHULU BLUEBERI

(Resipi untuk 250 biji)




Bahan-bahan:

48 biji telur ayam
2100 gm gula putih
1 sudu makan gula merah
1900 gm tepung gandum
Pewarna ungu secukupnya
Jem blueberi secukupnya
Sedikit minyak masak

Cara membuat:

1. Pukul telur, gula putih dan gula merah hingga kembang.
2. Kemudian masukkan pewarna ungu dan pukul lagi.
3. Setelah adunan naik, masukkan tepung sedikit demi sedikit. Gaul sebati.
4. Panaskan acuan dengan sedikit minyak, sudukan sedikit adunan ke dalam acuan, masukkan 1 sudu teh jem blueberi dan tutup dengan selapis lagi adunan.
5. Bakar dalam ketuhar pada suhu 200 C selama 10 minit atau hingga masak. Sedia dinikmati.


BAHULU DOUBLE CHOCOLATE CHIP

(Resipi untuk 250 biji)



Bahan-bahan:

48 biji telur ayam
2100 gm gula putih
1 sudu makan gula merah
1900 gm tepung gandum
Sedikit pewarna kuning
100 gm coklat masakan - dicairkan
Chocolate chip secukupnya
Minyak masak secukupnya

Cara membuat:

1. Pukul telur, gula putih dan gula merah hingga kembang.
2. Setelah adunan naik, masukkan tepung sedikit demi sedikit. Gaul sebati.
3. Masukkan pewarna kuning. Gaul sebati.
4. Panaskan acuan dengan minyak masak, sudukan sedikit adunan ke dalam acuan. Kemudian masukkan sedikit coklat masakan.
3. Sudukan sedikit lagi adunan sehingga memenuhi acuan. Lakukan hingga habis, tabur chocolate chip di atas bahulu.
4. Bakar dalam ketuhar pada suhu 200 C selama 10 minit atau hingga masak. Sedia dinikmati.

BAHULU COKLAT BADAM

(Resipi untuk 250 biji)



Bahan-bahan:

48 biji telur ayam
2100 gm gula putih
1 sudu makan gula merah
1900 gm tepung gandum
Sedikit pewarna kuning
20 gm badam hancur - dipanggang seketika
100 gm coklat masakan - dicairkan


Cara membuat:

1. Pukul telur, gula putih dan gula merah hingga kembang.
2. Masukkan pewarna kuning dan pukul lagi.
3. Setelah adunan naik, masukkan tepung gandum sedikit demi sedikit.
4. Panaskan acuan dengan minyak masak, sudukan sedikit adunan ke dalam acuan. Bakar dalam ketuhar bersuhu 200 C selama 10 minit atau sehingga masak.
5. Keluarkan dari ketuhar dan sejukkan seketika. 
6. Celup bahulu ke dalam bekas berisi coklat cair dan taburkan sedikit badam panggang. Sedia dinikmati.

Selamat mencuba!

 
========================================================================

Kalau anda tengah tercari-cari idea nak mula bisnes tapi tak tahu nak jual produk apa, mungkin tepung premix adalah pilihan yang sesuai! 

Dengan tepung premix, anda boleh hasilkan pelbagai jenis produk seperti kek, roti, atau kuih-muih, yang mudah dijual dan selalu ada permintaan.

Tak perlu risau tentang modal besar atau pengalaman – e-book Bisnes Tepung Premix akan tunjuk kepada anda dari awal hingga akhir, termasuk resipi pun diberi sekali!

Ini peluang untuk anda mulakan bisnes dengan produk yang mudah dan berpotensi tinggi!





Nak tahu lebih lanjut? KLIK SINI!