Nov 7, 2020

Cara Buat Pes Asam Rebus

 Cara Buat Pes Asam Rebus oleh Chef Suwarsi Arukin, dalam buku Buat Sendiri Pes Masakan.





Asam rebus ikan kembung

Kisarkan saja semua bahan A hingga halus. Kemudian rebus dalam periuk dengan 1 cawan air dan bahan-bahan lain hingga mendidih dan naik bau harum. Kemudian bolehlah disimpan dalam peti ais.

Mahu guna saja, panaskan pes dan masukkan air, juga protein dan sayur yang ingin dimasak. Siap!


Nota:

Boleh tambahkan daun kesum, bunga kantan, tomato, terung atau bendi. 


==============================================================



Tahukah anda, membuat pes sendiri lebih jimat dan hasil masakan menjadi enak. Malah, boleh digunakan berbulan-bulan lamanya jika dimasak dan disimpan dengan cara yang betul. Untuk memastikan pes tahan lama, pastikan bahan-bahannya terdiri daripada bahan segar dan masak dengan minyak yang secukupnya.

Naskhah ini memaparkan 40 jenis pes yang boleh dihasilkan sendiri di rumah dengan menggunakan bahan-bahan yang senang didapati. Antara pes yang dihasilkan seperti khabsa, asam gerang, cili padi, tomyam, pasta Itali dan macam-macam lagi. Di samping itu, terdapat 10 resipi bonus untuk menghasilkan masakan dengan menggunakan pes tersebut. Jadikan buku ini sebagai teman anda di dapur.

ISBN: 978-967-86-0848-0

HALAMAN: 128

PENULIS: SUWARSI M. ARUKIN

HARGA: RM26 

Untuk pembelian, boleh WhatsApp ke 019-8197259.



Nov 6, 2020

Resipi Kari Ikan Merah Ala Mamak

 Resipi Kari Ikan Merah


Kari Ikan Merah ala Mamak

Bahan-bahan:

3 keping ikan merah, 1/2 labu bawang besar, 3 ulas bawang putih, 1 biji tomato, 1/2 sk jintan manis, 1/2 sk jintan putih, 1/2 sk biji halba, 6-7 sb rempah kari daging Baba's, 1/2 cawan air asam jawa, 1/2 kotak santan, air, garam.

Cara buat:

Tumis hirisan bawang besar, bawang putih, jintan manis, jintan putih, halba. Bancuh rempah kari dengan air asam jawa. Masukkan pes ke dalam tumisan bawang. Tumis sampai pecah minyak.

Masukkan air, agak boleh tenggelam ikan. Kacau-kacau. Hampir mendidih, masukkan garam. Masukkan ikan. Masukkan santan. Kacau perlahan. Takut ikan hancur. Masukkan tomato dan cili merah. Kecilkan api. Biar mereneh dalam 15 minit lagi. Ikan dah masak, boleh tutup api. Siap.

Nota:

Kalau nak guna daun kari, masukkan sekali masa tumis bawang.

Cili merah ganti dengan cili hijau kalau ada. Lagi sedap.

Nak pedas, bancuh rempah kari dengan serbuk cili sikit. Atau masukkan cili padi sekali masa masukkan tomato.

Nak masukkan terung atau bendi pun boleh, masukkan bersama tomato.

Panaskan hingga mendidih keesokannya. Boleh dibuat pencicah dengan lempeng, cucur, roti atau roti canai.

Resipi ini memang menggunakan rempah kari daging. Kalau berani, cubalah :D

Nov 5, 2020

Resipi Ikan Bilis Kicap Bawang

 Resipi Ikan Bilis Kicap Bawang


Ikan bilis kicap bawang

Bahan-bahan:

Ikan bilis, cili merah, cili padi, bawang besar, kicap manis.


Cara membuat:

Cuci dan toskan bilis. Panaskan minyak. Goreng garing, ketepikan.

Goreng bawang besar, bawang putih, cili padi, cili merah sampai layu juga. Gaul dengan bilis, tuang kicap sikit.

Siap.

Ekspres kan?

Mudah kerja. Menu simple dan bajet. Boleh buat menu sahur. Boleh juga sebagai menu di kala kesesakan. Tetap mengenyangkan, insya-Allah.



Nov 4, 2020

Tip Ayam Panggang Lebih Enak

Ayam panggang boleh disediakan dengan cara memanggangnya di dalam ketuhar, di atas bara api atau menggunakan rotisserie profesional (alat putaran). Aliran lemak dan jus ayam panggang merembes keluar semasa memanggang.


Sumber: vkeong.com


Oleh itu, ayam panggang lebih enak dimasak menggunakan gril putar agak peredaran lemak dan jus ini mengalir secekap mungkin. 

Ayam panggang merupakan hidangan yang terdapat dalam pelbagai versi masakan di seluruh dunia.

Sumber: Young Chef In the House, Ahmad Amirul Imran


Khasiat Pokok Panah Arjuna/Meroyan Papan (Tectaria singaporeona copel)

Pokok panah arjuna tergolong dalam keluarga pakis (Famili: Aspidaceae). 

Daunnya berbentuk memanjang seperti pedang dan berwarna hijau muda. Tumbuhan ini tumbuh di kawasan lembap dan teduh.

Gambar: warisannenek.blogspot.com


Khasiatnya:

1. Membantu masalah lemah tenaga batin pada lelaki. 

Cara: Perdu, akar dan daunnya direbus sebagai ubat periuk lalu diminum.

2. Dijadikan ubat periuk untuk wanita lepas bersalin.

Cara: Daunnya direbus bersama akar dan daun herba lain, lalu diminum untuk memulihkan tenaga.


Sumber: 202 Khasiat Herba, Alaf 21



Resipi Telur Kacang Panggang (Telur Mata Kerbau dengan Baked Bean)

 Resipi Telur Kacang Panjang



Goreng telur mata 4 biji. Susun dalam pinggan. Kuningnya cair sikit, pun sedap.

Tumis bawang besar, bawang putih, cili padi, cili merah. Agak layu, masukkan kacang panggang 1 tin kecil. Atau berapa banyak ikut sukalah. Masukkan air sikit. Serbuk perasa secubit. Lada sulah sikit. Dah mendidih, tuang atas telur mata tadi. Kalau suka berkuah, letaklah air lebih sikit.

Siap.


Nov 3, 2020

Petua Mencuci Kain Lap Dapur Supaya Bersih dan Harum

Dikongsi dalam laman web Rasa.my, begini cara untuk mencuci kain lap dapur yang kotor dan berminyak supaya lebih bersih dan harum. 



Hanya menggunakan bahan yang mudah didapati di dapur dengan kos yang murah sahaja.

Kita perlukan:

Soda bikarbonat, cuka, air panas

Caranya:

Masukkan air panas ke dalam mangkuk/besen. Masukkan soda bikarbonat. Kemudian masukkan cuka. Kacau rata. Rendamkan kain pengelap ke dalam campuran larutan tadi semalaman. Pastikan kain terendam sepenuhnya. Bilas dan cuci bersih lalu dijemur. 


Resipi Sihat Ikan Siakap Kukus Serai

 RESIPI IKAN SIAKAP KUKUS SERAI


Bahan-bahan:

Ikan siakap 2 ekor kecil, bawang besar 1 labu, bawang putih 5 ulas, serai 3 batang diketuk, halia dihiris, cili padi diketuk, cili merah, dihiris, sos ikan 2-3 sudu makan, jus limau nipis 1 sudu kecil, daun ketumbar/daun sup dihiris.

Cara buat:

Bersihkan ikan, lumur sedikit garam dan letakkan dalam kuali besar atau pengukus. Taburkan semua bahan ke atas ikan kecuali daun ketumbar. Masukkan sedikit air ke dalam periuk ikan (jika masak guna dapur). Tutup periuk dan kukus 15 minit. Buka penutup periuk dan taburkan daun bawang. Tutup semula. Padamkan api. Sedap dimakan semasa panas.





Nov 2, 2020

Kenapa Ketuhar Perlu Dipanaskan Sebelum Masukkan Kek?

Untuk membakar kek, ketuhar perlu dipanaskan selama 16-20 minit sebelum kek dimasukkan.

Ia penting supaya kek tidak bantat, tidak keras dan tidak kering.



Biasanya apabila kita membuka suis ketuhar dan meletakkan suhu yang kita mahu, pada 5-10 minit terawal, ketuhar akan naik ke suhu paling tinggi. 5 minit kemudian barulah ketuhar akan turun kepada suhu yang telah disetkan.

Disebabkan itu, pemanasan ketuhar penting supaya kek yang dibakar cantik dan sedap.



Sumber: Kek Kampung Paling Agung, Khairul Hakimin Muhammad, Alaf 21

Resipi Ikan Tumis Asam

 RESIPI IKAN TUMIS ASAM

Ikan tumis asam

Bahan-bahan:

Ikan apa pun boleh tapi biasa tenggiri, bawang besar, bawang putih, halia, pes asam jawa, air, cili merah, cili hijau, cili padi, tomato, garam, serbuk kunyit

Cara buat:

Gaul garam dan serbuk kunyit pada ikan, perap sekejap, goreng kemudian toskan. Hiris bawang besar, bawang putih, halia, cili merah, cili hijau, cili padi. Tomato dibelah empat.

Panaskan minyak, guna lebihan minyak gorengan ikan tadi. Tumis bahan hiris semua hingga agak layu. Bancuh pes asam jawa dengan sedikit air. Tuang bancuhan ke dalam tumisan. Masukkan garam dan serbuk kunyit sikit. Dah mendidih, masukkan ikan dan tomato. Gaul sebati, tutup api. Sedia dihidang.



Nov 1, 2020

Khasiat Asam Gelugur (Garcinia atroviridis)

Asam gelugur atau asam keping (Garcinia atroviridis) merupakan antara herba penting dalam masakan tertentu. Pucuk asam gelugur yang muda berwarna kemerahan boleh dijadikan sayur atau ulam bagi yang menggemarinya. Menu yang menggunakan asam gelugur seperti asam rebus, pindang, singgang dan sebagainya.



Selain memberi rasa masam kepada masakan, asam gelugur juga mempunyai beberapa khasiat perubatan. Antaranya:


1. Merawat tumit pecah

Cara rawatan: Rebus buah asam gelugur kering sehingga mendidih. Setelah suam, rendam tumit kaki yang pecah dalam air rebusan tadi selama beberapa minit. Lakukan beberapa kali hingga nampak kesannya.


2. Sakit kepala

Cara rawatan: Hiris buah asam gelugur yang masak nipis-nipis dan tampalkan pada dahi.

 

Sumber: 202 Khasiat Herba, Alaf 21



Resipi Sup Ekor


RESIPI SUP EKOR 



Sup ekor (lebihan lemak dibuang)


Bahan-bahan:

Ekor lembu, lebih kurang 1 kg

Bawang besar, 1 labu besar

Bawang putih, 8 ulas

Halia muda, 2 cm

Saderi, 2 batang

Kentang, 2 biji

Bunjut sup tulang, 1 peket

Jus limau nipis, sesedap rasa

Garam, perasa, lada sulah

Bawang goreng

Daun bawang, daun sup

*boleh tambah buah tomato dan cili padi kalau suka


Cara buat:

  1. Ekor dicuci bersih, direbus hingga empuk. Saya guna api kecil, periuk ditutup. Kaut dan buang lemak dan minyak yang terapung.
  2. Bawang besar, bawang putih, halia dikisar halus.
  3. Bila ekor dah hampir empuk, masukkan bunjut sup, bahan kisar, kentang, saderi. Kacau rata. Biarkan mendidih.
  4. Masukkan jus limau, garam, perasa, lada sulah. Didihkan lagi hingga betul-betul empuk. Kalau guna tomato dan cili padi, masukkan sekali.
  5. Tabur bawang goreng, daun sup dicencang kasar. Sedia dihidang.
  6. Saya suka sup yang ditabur banyak bawang goreng dan daun sup/daun bawang. 
  7. Kalau ada cili kicap pun layan juga.


Selamat mencuba!